valid html5

Perakaunan

Last Update: 23 Mar 2013View: 3708

Perakaunan adalah proses penyediaan penyata kewangan dan maklumat operasi sesebuah entiti kepada pihak yang berkepentingan. Penyata kewangan ialah laporan kedudukan kewangan sesebuah entiti meliputi kedudukan aset (harta) dan liabiliti (hutang / tanggungan) sesebuah entiti. Proses dalam penyediaan penyata kewangan meliputi proses menyimpan rekod yang dikenali sebagai sistem catatan bergu atau lebih popular dengan sistem debit kredit. Perakaunan secara umum terbahagi kepada dua, perakaunan kewangan dan perakaunan pengurusan.

Perakaunan Kewangan

Perakaunan kewangan melaporkan maklumat kewangan sesebuah entiti kepada pengguna luaran seperti bank dan orang awam, biasanya untuk membantu pihak berkaitan membuat keputusan tentang pelaburan. Contohnya laporan kewangan tahunan yang dikeluarkan oleh syarikat, digunakan oleh pemegang saham, bakal pelabur dan pihak bank dalam membuat rumusan kedudukan syarikat dari segi kewangan dan prestasi tahunan.

Perakaunan Pengurusan

Perakaunan pengurusan melaporkan maklumat kewangan dan operasi kepada pihak dalaman sesebuah entiti untuk kegunaan pihak pengurusan, pekerja dan pemilik entiti membuat keputusan tentang sesuatu operasi. Perakaunan pengurusan berkait rapat dengan strategi dan perancangan sesebuah entiti. Contohnya, laporan kos pengeluaran sesuatu produk yang membantu sesebuah entiti mengesan kelemahan dalam operasi.

Sistem Catatan Bergu (Debit Kredit) Dalam Perakaunan

Maksud Debit Dan Kredit Dalam Perakaunan

Dalam perakaunan, sistem catatan bergu adalah kaedah untuk merekod transaksi perniagaan. Sistem ini dikenali dengan sistem catatan bergu (debit kredit) kerana setiap transaksi yang berlaku akan direkod di dalam dua akaun berlainan, satu di bahagian kiri (dipanggil bahagian debit), dan satu di bahagian kanan (dipanggil kredit).

Contoh Sistem Catatan Bergu

Kita ambil transaksi berikut sebagai contoh.

Pada 21 Disember 2011, syarikat membeli kenderaan untuk kegunaan operasi perniagaan berharga RM50,000 menggunakan wang di dalam bank.

Urusniaga ini akan direkod seperti berikut:

Debit Akaun Kenderaan Kredit
Dis 21 Bank 50,000
Debit Akaun Bank Kredit
Dis 21 Kenderaan 50,000

Seperti kita lihat, pada akaun kenderaan, catatan dibuat pada bahagian kiri (debit) dan pada akaun bank catatan dibuat pada bahagian kanan (kredit). Ini dinamakan sistem catatan bergu.

Mengapa akaun kenderaan dicatat pada bahagian debit dan akaun bank dicatat pada bahagian kredit?

Akaun kenderaan dan bank termasuk dalam kumpulan aset (harta). Di dalam perakaunan, setiap pertambahan di dalam aset akan kita catat pada bahagian debit, manakala pengurangan aset akan dicatat pada bahagian kredit. Dalam kes ini, berlaku penambahan aset iaitu kenderaan dan berlaku pengurangan aset iaitu bank. Lihat lebih lanjut tentang pengkelasan akaun.

Firma Perakaunan Vs Firma Audit

Firma perakaunan tidak sama dengan firma audit. Firma perakaunan menyediakan perkhidmatan perakaunan kepada pelanggan. Secara mudahnya, firma perakaunan membantu pelanggan dalam menyediakan rekod perakaunan harian pelanggan dan penyata kewangan. Firma audit pula adalah sebuah firma yang menyemak ketepatan rekod perakaunan pelanggan. Contohnya penyata kewangan tahunan yang dikeluarkan oleh syarikat awam berhad (public listed company) mesti diaudit dan disahkan oleh firma audit yang bertauliah sebelum didedahkan kepada awam.

Hantar Komen Anda