valid html5

Aset, Liabiliti, Belanja, Hasil, Ekuiti Pemilik

Last Update: 02 Mar 2013View: 2169

Aset, liabiliti, belanja, hasil dan ekuiti pemilik merujuk kepada jenis atau kelas akaun di dalam perakaunan. Contohnya, akaun tunai dikelaskan sebagai aset. Setiap penambahan dalam akaun aset akan dicatat pada bahagian debit (kiri) manakala pengurangan dalam aset akan dicatat pada bahagian kredit (kanan).

Aset

Aset ialah harta yang dimiliki oleh sesebuah organisasi. Contohnya, wang tunai, wang di dalam bank, kenderaan, loji, tanah dan mesin.

Aset Bukan Semasa

Aset bukan semasa ialah aset yang mempunyai jangka hayat melebihi setahun dan tidak dijual melalui operasi biasa sesebuah organisasi. Aset bukan semasa digunakan oleh organisasi untuk meneruskan operasi, contohnya, kenderaan, loji, tanah dan sebagainya.

Aset Semasa

Aset semasa ialah aset cair, atau aset yang mudah ditukar kepada wang tunai, contohnya wang tunai, wang di dalam bank, stok perniagaan dan penghutang. Penghutang ialah individu atau organisasi luar yang berhutang dengan organisasi.

Liabiliti

Liabiliti adalah tanggungan atau hutang organisasi kepada pihak luar. Penambahan di dalam akaun liabiliti akan dicatat pada bahagian kredit manakala pengurangan dalam akaun liabiliti akan dicatat pada bahagian debit.

Liabiliti Bukan Semasa

Liabiliti bukan semasa juga dikenali liabiliti jangka panjang, ialah hutang sesebuah organisasi kepada pihak luar dalam jangka masa melebihi setahun, contohnya pinjaman bank.

Liabiliti Semasa

Liabiliti semasa ialah hutang organisasi yang dijelaskan dalam masa kurang setahun. Contohnya pemiutang. Pemiutang ialah hutang organisasi kepada pihak luar dalam jangka masa pendek.

Cuba Kuiz Berikut !

Akaun Tunai
Akaun Bank
Akaun Kenderaan
Akaun Jualan
Akaun Hasil Dividen
Akaun Hasil Komisen
Akaun Belanja Sewa
Akaun Modal
Akaun Pinjaman
Akaun Kelengkapan
Akaun Perabot
Akaun Belanja Utiliti
Akaun Belanja Gaji
Akaun Hasil Sewa

Belanja

Belanja ialah kos yang terlibat dalam aktiviti sesebuah organisasi. Contohnya gaji pekerja dan belanja utiliti (elektrik dan air). Penambahan di dalam akaun belanja akan dicatat pada bahagian debit dan pengurangan di dalam belanja akan dicatat pada bahagian kredit.

Belanja Operasi

Belanja operasi ialah kos yang terlibat dalam operasi harian biasa organisasi contohnya belanja gaji, belanja sewa dan belanja utiliti.

Belanja Bukan Operasi

Belanja bukan operasi ialah kos yang terlibat bukan dalam aktiviti biasa organisasi. Contoh belanja bukan operasi ialah belanja faedah pinjaman.

Hasil

Hasil ialah wang yang diterima atau akan diterima oleh sesebuah organisasi. Penambahan di dalam akaun hasil akan dicatat pada bahagian kredit, manakala pengurangan dalam hasil akan dicatat pada bahagian debit.

Hasil Operasi

Hasil operasi ialah hasil yang diterima daripada aktiviti utama sesebuah organisasi contohnya jualan barangan atau perkhidmatan.

Hasil Bukan Operasi

Hasil yang diterima bukan dari operasi biasa sesebuah organisasi. Contohnya faedah yang diterima hasil dari simpanan wang di dalam bank.

Ekuiti Pemilik

Ekuiti pemilik ialah hutang organisasi kepada pemilik. Organisasi dan pemilik merupakan dua entiti berasingan. Contoh ekuiti pemilik ialah modal yang dilaburkan oleh pemilik dan untung organisasi. Penambahan dalam akaun ekuiti pemilik akan dicatat pada bahagian kredit, manakala pengurangan dalam ekuiti pemilik akan dicatat pada bahagian debit.

Hantar Komen Anda